Sunday, November 9, 2008

KEMAHIRAN LISAN



PENGENALAN


Lisan adalah pertuturan atau percakapan. Apabila seseorang bertutur, ia bukan hanya melibatkan kemahiran bertutur sahaja tetapi juga melibatkan kemahiran mendengar. Ini bermakna kemahiran lisan merangkumi dua kemahiran penting iaitu mendengar dan bertutur. Bagi menguasai kemahiran lisan dengan baik, seseorang itu perlu menguasai kedua-dua kemahiran ini. Sebagai contoh, kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran akan mengalami masalah pertuturan juga. Malah bagi kes masalah pendengaran yang teruk (pekak), kanak-kanak tersebut tidak dapat bertutur langsung atau dikatakan sebagai bisu.

Tajuk ini akan membincangkan tentang kemahiran lisan yang merangkumi kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur, masalah-masalah kemahiran lisan, dan juga tentang penilaian kemahiran lisan.


OBJEKTIF

Pada akhir tajuk ini pelajar diharap dapat:

1. menjelaskan maksud kemahiran lisan, kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur;

2. menjelaskan masalah-masalah kemahiran lisan;

3. menghuraikan kepentingan penilaian dalam kemahiran lisan

4. membezakan jenis ujian kemahiran lisan





1.1 Kemahiran Mendengar dan Bertutur


Dalam tajuk 1 anda telah dapat memahami maksud bahasa dengan lebih jelas berdasarkan beberapa definisi bahasa yang dibincangkan. Dalam definisi bahasa tersebut jelas dinyatakan bahawa bahasa sebagai lambang-lambang pertuturan atau dalam bentuk lisan. Manusia mencipta lambang-lambang pertuturan terlebih dahulu sebelum mencipta simbol-simbol tulisan.

Apabila diteliti perkembangan bahasa kanak-kanak, ianya bermula daripada proses mendengar terlebih dahulu dan diikuti dengan meniru atau mengajuk bunyi-bunyi yang didengar dan seterusnya bercakap. Lambang-lambang tulisan hanya diperkenalkan apabila kanak-kanak sudah biasa dengan bahasa dan boleh bertutur dengan baik ( Kamarudin Hj. Husin, 1988).

Kesimpulannya, kemahiran lisan terdiri daripada dua aspek penting iaitu kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur. Bagi menguasai kemahiran lisan, kanak-kanak perlulah menguasai kedua-dua aspek ini dengan baik terlebih dahulu. Kanak-kanak yang mahir dlam bahasa lisan akan dapat melahirkan perasaan dan pendapat dengan baik, dan akan lebih yakin untuk berinteraksi dengan orang lain dalam apa jua situasi.


A. Kemahiran Mendengar

Mendengar adalah kemahiran awal yang dikuasai oleh kanak-kanak dalam perkembangan pemerolehan bahasanya. Lundsteen (1979) telah mendefinisikan mendengar sebagai satu proses minda yang memberi makna kepada bahasa pertuturan.
Berdasarkan definisi mendengar ini, Jalongo (1992) menyatakan bahwa kemahiran lisan melibatkan tiga perkara penting, iaitu;

i. Pendengaran (Hearing) – iaitu proses fisiologikal yang merangkumi ketajaman pendengaran atau keupayaan mendengar, dan persepsi pendengaran iaitu keupayaan untuk membezakan bunyi-bunyi, mengadun bunyi-bunyi, dan menyimpan urutan bunyi dalam ingatan,

ii. Mendengar (Listening) - merupakan bentuk tingkah laku persepsi iaitu memberi tumpuan, menjadi peka, dan memilih petunjuk-petunjuk isyarat (cues) daripada persekitaran,

iii. ”Auding” - iaitu tingkah laku pemahaman yang bermula daripada pendengaran dan mendengar. Auding termasuklah memperoleh makna daripada apa yang diudengar, menghubungkan bunyi sesuatu yang sudah diketahui, menyusun, membayangkan, dan menghargai apa yang didengar.


Kepentingan Kemahiran Mendengar

Kemahiran mendengar sangat penting dalam kehiduipan kerana kemahiran mendengar adalah asas kepada proses komunikasi. Interaksi dua hala akan terganggu berlaku apabila salah seorang gagal mendengar dengan baik. Kemahiran mendengar adalah kebolehan bahasa yang mula-mula sekali bagi kanak-kanak. Sebaik sahaja organ pendengaran kanak-kanak sudah terbentuk di dalam kandungan ibu mereka sudah mula mendengar. Bayi yang baru lahir akan bertindak balas terhadap bunyi-bunyi yang berbeza di sekitarnya, dan mereka akan ditenteramkan oleh bunyi-bunyi yang biasa didengarnya ketika dalam kandungan ibunya. Lebih dari itu, mendengar adalah asas kepada kemahiran bahasa yang lain iaitu bertutur, membaca, dan menulis.

Keduanya, mendengar adalah kemhairan bahasa yang paling kerap digunakan oleh manusia. Lundsteen (1979) membuat persamaan berikut untuk menegaskan kepentingan mendengar, iaitu dalam sehari kita mendengar sama banyak dengan sebuah buku, kita bertutur bersamaan sebuah buku seminggu, kita membaca bersamaan sebuah buku sebulan kita menulis bersamaan sebuah buku setahun.

Di sebalik kepentingannya, kemahiran mendengar adalah kemahiran yang diabaikan. Proses pengajaran dan pembelajaran di kelas sangat kurang menitikberatkan kemahiran ini dan guru lebih tertumpu kepada mengajar kemahiran membaca dan menulis.

Keperluan Mendengar

Abd.Aziz Talib (2000) menyatakan bahawa keperluan mendengar berbeza mengikut situasi sama ada berbentuk tidak formal atau formal. Kemahiran mendengar dalam situasi tidak formal berlaku di rumah, di taman permainan, ketika bermain dengan rakan dan sebagainya. Walaupun secara tidak formal, keperluan mendengar sangat penting kerana kanak-kanak perlu mendengar dan memahami percakapan ibu bapa dan ahli keluarganya yang lain. Begitu juga apabila dia perlu mendengar untuk berhibur seperti mendengar radio, atau menonton televisyen.

Keperluan mendengar di sekolah bercorak formal, iaitu bahan-bahan yang didengar adalah bercorak akademik. Selain itu, aktiviti lain seperti syarahan, pidato, kuiz, dan sebagainya menjadikan kemahiran mendengar lebih penting lagi.


Keperluan mendengar sama ada bersifat formal atau tidak formal dapat dilihat dari segi tujuankita mendengar. Abd. Aziz Talib (2000) memberikan tiga tujuan kita mendengar, iaitu:

i. mendengar dalam interaksi sosial seperti berbual dan bermesyuarat,
ii. mendengar untuk mendapatkan hiburan seperti mendengar radio,menonton televisyen, atau filem, dan
iii. mendengar untuk mendapatkan maklumat atau pengetahuan seperti di dalam kelas, mendengar ceramah dan sebagainya.





B. Kemahiran Bertutur


Bertutur adalah kegiatan melafazkan bunyi-bunyi yang dilahirkan daripada alat sebutan (artikulator) ,ia merupakan kemahiran berinteraksi dalam suasana berbahasa manusia ( Kamarudin Hj. Husin, 1978). Kemahiran bertutur dikuasai oleh kanak-kanak hasil daripada meniru atau mengajuk pertuturan orang dewasa di sekelilingnya. Rangsangan dan ganjaran yang diterimanya akan menggalakkannya mengulang-ulang perkataan yang disebutnya sehingalah ia dapat menguasai pertuturan yang lebih kompleks. Apabila kemahiran bertutur sudah dikuasai, kanak-kanak akan mula berinteraksi dengan orang lain di sekelilingya. Sebab itulah orang dewasa perlu menunjukkan model pertuturan yang baik kepada kanak-kanak bagi membolehkan mereka bertutur dengan berkesan.

Aspek-aspek Pertuturan

Ada beberapa aspek penting dalam pertuturan yang perlu diberi perhatian supaya pertuturan menjadi lebih berkesan. Kamarudin Hj. Husin (1978) memberikan sembilan aspek pertuturan seperti berikut:

Sebutan

Tekanan

Mora ( panjang pendek)

Jeda ( persendian)

Intonasi

Nada

Tatabahasa

Kelancaran

Kefasihan

Laras Bahasa


Sebutan adalah membunyikan huruf-huruf , perkataan, atau ayat dengan tepat dan jelas. Kanak-kanak perlu dilatih menyebut dengan betul supaya tidak menimbulkan kekeliruan keoada orang yang mendengar pertuturannya. Pertuturan yang tidak jelas menyebabkan mesej yang hendak disampaikan tidak dapat difahami.

Intonasi adalah keadaan bunyi yang menaik atau menurun ketika sesuatu ayat dilafazkan. Dalam bahasa Melayu, intonasi juga penting kerana ia boleh membawa makna yang berbeza bagi sesuatu ayat sekiranya disebut dengan intonasi yang tertentu.

Kelancaran bermakna kanak-kanak dapat bertutur tanpa tersekat-sekat, kemas, dan teratur. Individu yang mengalami masalah gagap akan menghadapi masalah kelancaran bertutur yang serius.

Kefasihan pula bererti kanak-kanak boleh bercakap bukan sahaja lancar tetapi jelas dan tepat sebutannya tanpa ada unsur-unsur dialek atau telor bahasa asing.



Aktiviti-aktiviti Mengatasi Masalah Pendengaran dan Pertuturan:-

1. mempergiatkan gerakerja/aktiviti lisan untuk murid.
2. memperbanyakkan latih tubi sebutan dan intonasi
3. mempelbagaikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran
4. menjalankan peneguhan dan pengukuhan serta-merta
5.menggabungjalinkan aktiviti lisan dalam kemahiran-kemahiran lain bahasa, iaitu bacaa dan
tulisan
6. mewujudkan situasi-situasi yang menggalakkan murid-murid untuk berinteraksi
7. adakan rangsangan yang dapat membolehkan murid bercakapmengenai perkara-perkara tertentu
8. memastikan setiap murid mendengar apa yang dipertuturkan oleh guru dan murid lain.